695 penerima terima sumbangan Sejambak Kasih

SIMANGGANG: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sri Aman menyalurkan sebanyak RM7.895 juta kepada seramai 5,808 penerima bantuan bulanan dari Januari hingga Mac tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, seramai 2,649 penerima Bantuan Warga Emas, Bantuan Kanak-Kanak (707), Bantuan Am (1,452), Elaun Pekerja Orang Kelainan Upaya (169), Bantuan Penjagaan OKU serta Penyakit Kronik Terlantar (236), Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (592) dan Bantuan Anak Pelihara (dua).

Katanya, seramai 1,453 adalah penerima bantuan bulanan dari kerajaan negeri dan seramai 4,355 adalah penerima bantuan bulanan Kerajaan Persekutuan.

“Jumlah keseluruhan perbelanjaan setakat bulan ini adalah sebanyak RM7.895 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sejambak Kasih Hari Raya Sri Aman 2025, di sini, semalam.

Seramai 695 penerima terbabit yang menyambut Aidilfitri juga menerima sumbangan Sejambak Kasih bernilai RM100 seorang dengan seramai 100 penerima terbabit yang hadir di majlis itu menerima sumbangan secara tunai.

Manakala, seramai 595 penerima yang tidak hadir akan dikreditkan ke akaun masing-masing.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Semawi Mohamad dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman, Sharifah Mordiah Syed Ali.