Projek tukun tiruan inisiatif tingkatkan hasil tangkapan nelayan

TANJUNG MANIS: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual meninjau projek tukun tiruan di perairan Belawai pada Ahad ini.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata projek bernilai RM70 juta ini merupakan inisiatif berterusan Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan hasil tangkapan nelayan di kawasan Belawai, Rajang, Jerijih dan Tanjung Manis.

“Saya menitikberatkan keberkesanan projek ini supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat,” katanya selepas menyempurnakan Majlis pelepasan peserta Safari Memancing Tanjung Manis kategori Laut edisi yang ke-18 di Terminal Ekspres Tanjung Manis hari ini.

Mengenai Safari Memancing Tanjung Manis, beliau berkata acara tersebut berperanan mempromosikan wilayah tengah sebagai destinasi eko pelancongan.

Seramai 29 peserta mengambil bahagian dalam kategori Laut Dalam manakala 117 penyertaan bagi kategori Pesisir Pantai.

Selain pertandingan memancing, festival ini turut dimeriahkan dengan aktiviti sampingan seperti pertandingan memasak, karaoke, dan pameran perdagangan.

Acara kemuncak dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak pada Ahad ini.