38 projek GKCDA di Tanjung Datu

LUNDU: Empat daripada 38 projek di bawah Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) di sini telah siap manakala 12 lagi masih dalam pelaksanaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, dua lagi daripadanya masih dalam proses tender, enam masih di pihak konsultan dan 14 masih dalam perancangan.

Beliau berkata demikian pada majlis menyaksikan penyerahan tapak projek Penambahan Struktur 4G di Kampung Sg Limo kepada kontraktor di bawah projek GKCDA di sini, semalam.

Projek itu dikendalikan oleh Kontraktor SDEC di bawah Agensi Pelaksana Sarawak Multimedia Authority (SMA) dengan tempoh pelaksanaan selama lima bulan.

Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan penyerahan Tapak Projek Penambahan Lampu Jalan di jalan Pesisir Pantai N3 Tanjong Datu yang terbahagi kepada empat kluster.

Kluster satu melibatkan jalan Sematan ke Telok Melano, kluster dua (jalan Pekan Lundu ke Pugu), kluster tiga jalan Kampung Rambungan ke Temelan dan kluster empat melibatkan jalan Pekan Sematan ke Pueh Kenek .

Kesemua projek itu di bawah Agensi Pelaksana Jabatan Kerja Raya (JKR) di bawah kontraktor Metro Glide Sdn Bhd dengan tempoh pelaksanaan selama dua tahun.

Hadir sama Pegawai Daerah Lundu, Awang Yusup Awang Mostapha, Setiausaha Majlis Daerah Lundu, Norashikin Brahim, Pemanca Benjamin Gersit Jais dan Penghulu Raba’el Bujang Ili serta Ketua-Ketua Kaum dan Masyarakat Daerah Lundu .