Hampir semua ekuiti Lubuk Tiara Sdn Bhd dipegang LAKMNS

MIRI: Pemilikan Lubuk Tiara Sdn. Bhd. kini dikuasai hampir sepenuhnya oleh Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) selepas syarikat itu melalui proses penstrukturan semula yang selesai dilaksanakan baru-baru ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan bahawa perubahan struktur tersebut turut menyaksikan pemindahan kepentingan milik Rimbunan Hijau kepada LAKMNS.

“Dengan pengambilalihan ini, pengurusan dan operasi syarikat kini berada di bawah Lubuk Tiara sepenuhnya, manakala majoriti ekuitinya dimiliki oleh LAKMNS,” katanya ketika mengulas perkembangan itu.

Beliau membuat kenyataan tersebut ketika menghadiri sesi lawatan rasmi ke syarikat berkenaan. Beliau turut diberikan taklimat mengenai operasi dan potensi masa depan Lubuk Tiara di sini, hari ini.

Menurut Premier, pihaknya telah mengemukakan beberapa cadangan baharu bagi memastikan Lubuk Tiara dapat menjana pendapatan yang lebih pelbagai dan tidak hanya tertumpu pada satu sektor.

“Kita mahu syarikat menerokai sumber baharu seperti inovasi biojisim, tanaman alternatif yang lebih bernilai, pembangunan industri hijau serta aktiviti ekonomi kitaran yang semakin mendapat tempat,” jelasnya.

Beliau menambah, sisa daripada operasi sawit juga boleh dimanfaatkan secara optimum, termasuk dijadikan makanan ternakan, sekali gus membuka pintu peluang ekonomi tambahan kepada penduduk.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr. Penguang Manggil, Residen Bahagian Miri Galong Luang dan Pengarah Urusan Lubuk Tiara Sdn. Bhd Kaunselor Drahman Jaladin.