KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof menerima kunjungan dan menyertai sesi makan tengah hari bersama 32 mahasiswa Persatuan Mahasiswa Sarawak Universiti Malaya (PMSUM) di Parlimen di sini, hari ini.
Rombongan tersebut diketuai Ilman Mohd Azlan Jayasilan, disertai mahasiswa daripada pelbagai fakulti termasuk Undang-Undang, Kejuruteraan, Ekonomi, Kewangan, Pengajian Islam, Syariah, Sejarah, Bahasa Inggeris dan Sains Aktuari.
Turut hadir menyantuni mahasiswa ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi serta Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
Dalam ucapannya, Fadillah menekankan pentingnya anak muda Sarawak memiliki keberanian untuk mencabar diri dan meneroka perkara baharu sebagai persediaan menghadapi masa depan yang lebih kompetitif.
“Jangan sesekali meremehkan potensi diri. Dunia kini bergerak pantas, dan keberanian melangkah sering menjadi pemisah antara mereka yang hanya menunggu peluang dan mereka yang berani mencipta peluang,” katanya.
Beliau berharap sesi berkenaan mampu menjadi pemangkin keyakinan mahasiswa Sarawak agar terus melakar kejayaan dan mengangkat nama negeri di mana sahaja mereka berada.
Lawatan PMSUM ke Parlimen turut merangkumi kunjungan hormat kepada Ahli-ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta sesi lawatan akademik bagi mendalami fungsi institusi legislatif negara.
Sepanjang program anjuran PMSUM dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Malaya itu, peserta menerima taklimat mengenai struktur demokrasi berparlimen, proses penggubalan dasar dan undang-undang, serta peranan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Program tersebut diakhiri dengan sesi interaksi bersama Ahli-ahli Parlimen GPS, memberikan ruang kepada mahasiswa bertukar pandangan mengenai isu semasa dan hala tuju kepimpinan anak muda Sarawak.
