Majlis Adat Istiadat Sarawak terokai teknologi AI, perkukuhkan penyelidikan dan dokumentasi

KUCHING: Majlis Adat Istiadat Sarawak kini meneroka penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi memperkukuh proses penyelidikan, dokumentasi dan pentafsiran adat peribumi, selaras dengan keperluan masyarakat moden.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Seri John Sikie Tayai, berkata langkah itu dilaksanakan untuk meringankan beban kerja majlis, selain memastikan adat tradisional terus relevan dalam konteks sosioekonomi yang semakin berubah.

“Pemodenan adat melibatkan pentafsiran semula dan penambahbaikan agar adat tradisional kekal utuh tanpa dimansuhkan.

Ia turut meneliti rasional serta tujuan adat, termasuk yang berunsur spiritual, bagi membolehkan peruntukan alternatif yang lebih sekular digubal apabila perlu,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

Beliau berkata penambahbaikan adat juga memberi perhatian kepada pengurangan kesan negatif atau tekanan psikologi, khususnya dalam isu sensitif seperti penentuan hak penjagaan anak selepas perceraian.

Menurut Sikie, usaha ini penting bagi memastikan nilai budaya dan kepentingan akademik adat peribumi terus terpelihara, sambil membolehkan adat tradisional dan versi pentafsiran semasa wujud seiring mengikut tuntutan zaman.