LAWAS: Kerajaan negeri akan berusaha untuk memastikan rakyat Sarawak dapat mendaftarkan dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Sistem PADU adalah pendekatan terbaharu Kerajaan Persekutuan dalam menyalurkan bantuan subsidi bersasar kepada golongan yang benar-benar layak.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini khususnya mereka di kawasan luar bandar negeri ini dan satu taklimat pelaksanaan Sistem PADU ini telah dilaksanakan di Kuching dua hari lalu.
“Kerajaan negeri akan memberi input-input bagaimana kita memperbaiki pelaksanaan PADU ini,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baru Cina 2024 di Lawas, semalam.
Awang Tengah berkata, Kerajaan Sarawak juga merangka strategi untuk memastikan semua rakyat Sarawak dapat menyertai PADU tanpa sebarang kesulitan.
Katanya, ini selari tujuan sistem tersebut untuk menghentikan ketirisan dan kebocoran dana kerajaan serta membasmi kemiskinan tegar di negara ini.
