Serian tuan rumah Majlis Tilawah Al-Quran, Hafazan mulai 4-7 Februari depan

SERIAN: Serian dipilih sebagai tuan rumah Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan edisi ke-65 Peringkat Sarawak tahun 1447H/2026M tahun ini.

Majlis akan berlangsung mulai 4 hingga 7 Februari depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelarasan Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan merasmikan majlis itu pada 4 Februari.

Majlis bertemakan ‘Ummah Maju Makmur’. Manakala, penutupannya akan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 7 Februari, katanya pada sidang media di Pejabat Residen Bahagian Serian di sini hari ini.

“Untuk bahagian majlis tilawah, johan Qari dan Qariah masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 serta piala pusingan, iringan, hadiah iringan serta sijil, manakala naib johan menerima hadiah wang tunai RM7,000, ketiga RM5,000 dan saguhati RM1,500,” katanya.

Beliau berkata, hadiah dan cenderamata hafazan Al-Quran (kategori 1 hingga 30 Juzuk) untuk johan adalah RM5,000, naib johan RM3,000, ketiga RM2,000 dan saguhati RM500.

“Untuk kategori 1 hingga 20 juzuk pula, johan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, naib johan RM2,500, ketiga RM1,500 dan saguhati RM500.

Bagi kategori 1 hingga 10 juzuk, johan akan menerima RM3,000, naib johan RM2,000, ketiga RM1,000 dan saguhati RM500.

“Untuk edisi kali ini jumlah penyertaan bagi kategori qari dan qariah masing-masing adalah 13 dan sembilan.

“Kategori hafazan peserta lelaki dan perempuan pula masing-masing adalah 15 dan 6 orang. Ini menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan bagi kategori tilawah dan hafazan kali ini adalah 43 orang.,” ujarnya.

Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak kali ke-65 tahun 1447H/2026M akan diadakan di Serian Conference Centre.