KOTA SAMARAHAN: Usaha dijalankan bagi mendapatkan tapak tanah baharu untuk membina Masjid Darul Taqwa Kampung Stakan Melayu yang lebih besar dan selesa.
Perkara itu dijelaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim bagi menampung keperluan penduduk di kawasan perumahan berhampiran.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Program Ziarah Ramadan DUN Stakan di Masjid Darul Taqwa Kampung Stakan Melayu semalam.
Beliau menghulurkan sumbangan kepada 70 asnaf dari kampung tersebut untuk membantu golongan memerlukan menjelang sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.
Katanya lagi, program seumpama itu turut menjadi platform mendekati masyarakat serta memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian.
“Program Ziarah Ramadan ini akan terus dilaksanakan setiap tahun sebagai usaha membantu golongan memerlukan di kawasan DUN Stakan,” katanya.
Dalam majlis sama, Hamzah turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Taqwa Kampung Stakan Melayu bagi menyokong aktiviti serta keperluan pengurusan masjid.
