PRN Sarawak: Alexander beri bayangan sedia beralih ke DUN

KUCHING: Dato Sri Alexander Nanta Linggi memberi bayangan terbuka mengenai kemungkinan menukar laluan kerjaya politiknya daripada peringkat Parlimen kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Menteri Kerja Raya terbabit berkata, sebarang pertimbangan ke arah itu masih tertakluk kepada perbincangan dan keputusan kepimpinan parti, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Katanya, tempoh panjang dalam perkhidmatan di peringkat Persekutuan memberi ruang kepadanya untuk menilai bentuk khidmat yang boleh diteruskan kepada rakyat, termasuk kemungkinan berkhidmat di peringkat negeri.

“Selepas sekian lama di Parlimen, saya tidak menolak jika ada keperluan dan ruang yang sesuai untuk saya mempertimbangkan peranan di peringkat DUN, tertakluk kepada persetujuan parti,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri Mesyuarat Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako di sini, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Parti PBB menegaskan bahawa keputusan akhir tetap bergantung kepada kepimpinan parti.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan untuk melihat kawasan DUN di sekitar Kapit sebagai antara pilihan sekiranya berlaku perubahan hala tuju kerjaya politiknya.

Mengulas kedudukannya di Parlimen, Alexander turut menyatakan hasrat untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Kapit pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, bagi memberi peluang kepada generasi baharu dalam parti.

“Sudah sampai masa untuk memberi ruang kepada pelapis muda. Parti juga kini mempunyai barisan pemimpin yang bersedia,” katanya.