Program Bicara Santai Saudara Kita perluas ilmu agama

MATU: Seramai 100 peserta menyertai dirasmikan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi di Dewan Masyarakat Kampung Jemoreng, hari ini.

Menurut Ahmad Johnie, program tersebut merupakan anjuran Urusetia Saudara Kita (USK) Bahagian Mukah dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Bahagian Mukah dan Hikmah Cawangan Mukah serta menghimpunkan peserta daripada USK Cawangan Matu dan USK Cawangan Daro.

“Penganjuran program tersebut bertujuan memperkukuh kefahaman serta penghayatan ilmu agama dalam kalangan Saudara Kita, khususnya di kawasan Matu dan Daro,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian program tersebut.

Beliau menegaskan kepentingan Saudara Kita untuk terus menimba ilmu agama secara berterusan bagi memperkukuhkan akidah, membentuk sahsiah terpuji serta memantapkan jati diri sebagai seorang Muslim.

Menurutnya, usaha memperkasakan ilmu agama dalam kalangan Saudara Kita amat penting bagi memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai Muslim secara lebih menyeluruh.

“Program seperti ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada ilmu agama, malah menjadi medium mengeratkan ukhuwah dan hubungan silaturahim dalam komuniti,” tambah beliau.

Selain menyampaikan amanat, Ahmad Johnie turut meluangkan masa menyantuni peserta menerusi sesi bicara santai yang berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni.

Program berkenaan turut dimeriahkan dengan aktiviti kuiz ilmu agama menggunakan aplikasi Kahoot! yang memberi pendekatan pembelajaran lebih interaktif dan menarik kepada peserta.