SMK Bukit Goram bakal dibina, pendidikan pedalaman diperkasa

KAPIT: Pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Goram bakal membuka lembaran baharu pendidikan di pedalaman apabila projek tersebut bakal menyediakan kemudahan pembelajaran moden dan kondusif setanding sekolah di bandar.

Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, projek itu merupakan pelaburan besar dalam sektor pendidikan di Kapit dan akan dilaksanakan secara kaedah reka dan bina di atas tanah seluas kira-kira 7.189 hektar.

Menurutnya, sekolah baharu itu akan dilengkapi 36 bilik darjah serta pelbagai kemudahan mengikut piawaian termasuk blok pentadbiran, blok akademik, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) menengah, kantin, dewan sekolah, surau, kemudahan menunggu kenderaan, laluan berbumbung dan kemudahan sokongan lain.

“Saya melihat sendiri betapa pentingnya projek ini dipantau dengan rapi. Setiap perancangan, jadual pelaksanaan dan penyelarasan antara agensi mesti berjalan lancar demi memastikan institusi pembelajaran di kawasan pedalaman dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan sekolah-sekolah lain di kawasan bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menghadiri sesi taklimat dan meninjau tapak projek pembinaan sekolah itu, hari ini.

Ahli Parlimen Kapit itu berkata, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada pelaksanaan projek pendidikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) menerusi tender terbuka prakelayakan secara kluster.

Nanta berkata, pembinaan SMK Bukit Goram memberi harapan baharu kepada anak-anak di pedalaman untuk menikmati kemudahan pendidikan yang setanding dengan kawasan lain.