LAWAS: Bangunan Hospital Lawas yang baharu memerlukan Permit Menduduki (OP) sementara bagi membolehkan sebahagian operasi perkhidmatan kesihatan dilaksanakan.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, OP sementara itu penting bagi membolehkan pemindahan pesakit serta beberapa unit utama daripada bangunan lama ke bangunan baharu yang siap secara fizikal.
Menurutnya, ketika ini bangunan lama hospital masih menempatkan pesakit termasuk wad bersalin dan beberapa wad lain yang perlu dipindahkan.
“Langkah itu bagi memastikan perkhidmatan dijalankan dengan efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis makan malam apresiasi sempena Hari Bidan dan Hari Jururawat 2026 Daerah Lawas di Hotel Seri Malaysia Lawas, di sini, malam tadi.
Henry Sum mengumumkan geran RM10,000 kepada Sarawak Medical Service Union (SMU) Cawangan Lawas.
