ASAJAYA: Seramai 31 asnaf dari tiga kampung menerima agihan daging korban semasa Program Penyerahan Daging Korban Parlimen Kota Samarahan yang diadakan di Gelanggang Futsal Kampung Tambirat Lot hari ini.
Program anjuran Pejabat Daerah Asajaya dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Kota Samarahan serta Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya itu dilaksanakan sebagai usaha memperkukuh semangat kebersamaan, tolong-menolong dan amalan beramal jariah dalam kalangan masyarakat setempat.
Dalam program tersebut, seekor lembu dikorbankan untuk diagihkan kepada golongan asnaf melibatkan penduduk Kampung Tambirat Lot, Kampung Tambirat Tengah dan Kampung Tambirat Ulu.
Pengagihan daging korban disempurnakan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.
Menurut Rubiah, program ibadah korban bukan sahaja mencerminkan tuntutan agama, malah menjadi medium penting dalam menyemai nilai perpaduan, keprihatinan dan semangat kerjasama dalam komuniti.
Beliau berkata, penglibatan penduduk kampung secara bergotong-royong dalam aktiviti penyembelihan, membungkus dan pengagihan daging korban membuktikan semangat kekitaan masyarakat luar bandar masih kukuh dan terus dipelihara.
