Jangan sembunyi masalah di lapangan – Uggah

KUCHING: Semua pegawai daripada pelbagai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) diingatkan agar berterus terang berhubung masalah semasa melaksanakan projek di lapangan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, setiap isu dan masalah di lapangan tidak harus disembunyikan sebaliknya dimaklumkan kepada beliau dan pengurusan tertingginya semasa taklimat untuk dibincang dan diselesaikan.

Uggah memberi contoh semasa melawat projek jalan raya di Bahagian Samarahan baru-baru ini. Beliau ditemui sekumpulan ketua dan pemilik tanah tempatan berhubung perkara pampasan di tanah mereka yang terjejas.

“Sudah tentu ada yang marah. Tetapi dalam taklimat awal yang diberikan, saya tidak diberitahu isu ini sama ada secara sengaja atau kesilapan yang hakiki.

“Saya sendiri, dua timbalan menteri saya dan Setiausaha Tetap, kami semua terbuka untuk maklum balas anda,” katanya selepas ceramah integriti Syamsul Debat kepada pegawai dan kakitangan MIPD diikuti majlis berbuka puasa di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), semalam.

Sementara itu, Uggah berkata amat penting untuk semua terus berkhidmat dengan penuh integriti.

Menurutnya, dalam industri pembangunan pelabuhan dan kerja awam, integriti adalah lebih daripada sekadar kejujuran.