SIBU: Sibu perlu meninggalkan kebergantungan terhadap industri pembalakan dan beralih kepada ekonomi baharu berteraskan teknologi serta pembangunan rendah karbon bagi menjamin kemakmuran jangka panjang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bandar itu perlu dibangunkan semula secara menyeluruh sebagai sebuah bandar pintar rendah karbon yang dipacu teknologi baharu.
Selain itu, ekonomi mampan dan perancangan berasaskan pelan induk bagi memastikan Sibu terus berdaya saing pada masa hadapan.
“Dunia telah berubah dan kita perlu membangunkan bandar ini dengan pendekatan baharu yang sesuai dengan kehendak semasa,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin Masyarakat di salah sebuah hotel terkemuka di sini, malam ini.
Abang Johari berkata, pembangunan Sibu akan diperkukuh menerusi Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA) dan hubung kaitnya dengan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), yang masing-masing menerima peruntukan RM1.5 bilion bagi melaksanakan projek pembangunan mengikut keperluan tempatan melalui pendekatan bottom-up.
“Pendekatan itu memberi tumpuan kepada pemeliharaan hutan, pembangunan ekonomi hijau, perdagangan karbon serta penggunaan teknologi baharu bagi mewujudkan pertumbuhan ekonomi mampan,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak juga sedang merancang penstrukturan semula bandar Sibu yang memerlukan pelaburan besar, selaras dengan usaha meningkatkan hasil negeri bagi membiayai pembangunan tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan luar.
Abang Johari berkata, pemimpin masyarakat memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat dalam menjelaskan dasar pembangunan serta perubahan yang sedang dilaksanakan.
Beliau turut menggesa pemimpin masyarakat menggalakkan rakyat, khususnya generasi muda, menguasai ilmu dan teknologi baharu termasuk penggunaan platform digital, pembayaran tanpa tunai serta inovasi dalam sektor pertanian seperti teknologi padi berhasil tinggi dan konsep waste to wealth.
Selain itu, katanya, pembangunan rangkaian jalan raya termasuk Jalan Utama Kedua yang menghubungkan Kuching, Sri Aman dan Sibu dijangka meningkatkan kesalinghubungan serta mempercepatkan pertumbuhan ekonomi wilayah tengah Sarawak.
“Sarawak akan terus membangunkan negeri berasaskan kekuatan sendiri, disokong kestabilan politik, tadbir urus yang baik serta keyakinan pelabur antarabangsa terhadap hala tuju ekonomi negeri ini,” ujarnya.
