Dakwaan tiga projek jambatan Sarawak dibatal kerana SSLR tidak berasas

KUCHING: Dakwaan pembatalan tiga projek jambatan di Sarawak dibuat bagi memberi laluan kepada Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) pada 2018 adalah tidak berasas dan bercanggah dengan fakta.

Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata Hansard Parlimen dan Kerajaan Persekutuan tidak pernah menyatakan bahawa dana projek Jambatan Batang Lupar, Jambatan Kuala Igan dan Jambatan Rambungan itu dipindahkan kepada projek SSLR.

“Fakta-fakta rasmi menunjukkan dengan jelas bahawa tiga jambatan dibatalkan pada 2018 oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) atas alasan semakan projek dan kekangan kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wilie berkata, SSLR menerima kelulusan pembiayaan melalui peruntukan baharu Kerajaan Persekutuan pada 2020, selepas proses penilaian dan kelulusan tersendiri.

“Projek SSLR Fasa Satu telah memulakan proses perolehan (tender) seawal tahun 2017 ketika (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Amar Fadillah Yusof memegang portfolio sebagai Menteri Kerja Raya,” katanya.

Seterusnya, katanya projek ini diluluskan secara rasmi pada 2020 dengan kos sebanyak RM1.2 bilion ketika Kementerian Kerja Raya diterajui oleh Baru Bian.

Menurut Willie, rakyat Sarawak akhirnya tidak menjadi mangsa kepada pembatalan tersebut kerana Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengambil keputusan berani untuk membiayai sendiri pembinaan tiga jambatan tersebut.

Katanya keputusan ini membuktikan keupayaan dan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan projek-projek strategik yang memberi manfaat kepada rakyat tetap diteruskan walaupun berdepan pembatalan oleh Kerajaan Persekutuan pada ketika itu.