DEBAK: Masjid Kampung Melayu Dit di sini bakal berwajah baharu menerusi pembinaan sebuah masjid moden bernilai RM4.8 juta.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, projek tersebut dijangka siap dalam tempoh 18 bulan bagi menggantikan bangunan sedia ada yang telah daif dan tidak lagi mampu memenuhi keperluan penduduk.
“Pembinaan masjid baharu itu bukan sahaja untuk menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa, malah menjadi pusat pengurusan dan pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta keagamaan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Masjid Kampung Melayu Dit, dekat sini hari ini.
Beliau berkata, dengan siapnya masjid baharu itu kelak, pelbagai program dilaksanakan dengan lebih teratur selain memudahkan urusan pentadbiran dan penganjuran aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat Islam.
Menurut Dr Mohammad Razi, masjid bukan sekadar tempat menunaikan solat, malah merupakan platform menyatukan umat Islam serta memperkukuh perpaduan rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan kepercayaan.
Beliau turut mengajak umat Islam di Sarawak berganding bahu bersama masyarakat daripada pelbagai etnik dalam memacu pembangunan negeri selaras dengan aspirasi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang terus memperkenalkan pelbagai idea baharu demi kemajuan Bumi Kenyalang.
