BETONG: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kekal menjadi benteng utama kestabilan politik dan pembangunan Sarawak kerana berpegang teguh kepada perjuangan mempertahankan hak negeri serta mengutamakan kepentingan semua kaum.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kejayaan yang dikecapi Sarawak hari ini berkat hasil usaha dan keupayaan rakyat negeri ini sendiri membuktikan Parti PBB mempunyai dasar jelas dalam membangunkan negeri tanpa bergantung kepada pihak lain.
“Kita membangunkan Sarawak dengan kekuatan sendiri. Kita tidak bergantung kepada orang lain kerana kita sendiri mampu mempertahankan hak dan masa depan negeri ini.
“Parti PBB bukan parti untuk satu kaum sahaja, sebaliknya parti yang memperjuangkan kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya ketika berucap pada perasmian Konvensyen Khas Parti PBB Zon Betong di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini, semalam.
Abang Johari berkata, ahli parti perlu terus memperkukuhkan perpaduan dan tidak mudah terpengaruh dengan budaya lompat parti atau permainan politik yang hanya memecahbelahkan masyarakat.
Menurutnya, sejarah membuktikan Parti PBB terus mendapat sokongan rakyat kerana parti itu berpegang kepada prinsip perpaduan, kestabilan politik dan pembangunan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sarawak.
Abang Johari sehubungan itu turut mengingatkan pemimpin di semua peringkat supaya mengelakkan politik perkauman kerana kekuatan Sarawak terletak pada kerjasama erat antara masyarakat berbilang kaum.
Menyentuh mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Abang Johari berkata, perjuangan mendapatkan semula hak-hak Sarawak perlu diteruskan secara berhemah dan berlandaskan proses perundangan.
Katanya, pengambilalihan kuasa daripada Kerajaan Persekutuan dilakukan secara berperingkat dengan mengambil kira sejarah, aspek perundangan dan kemampuan kewangan negeri.
“Perjuangan mendapatkan semula hak Sarawak di bawah MA63 akan terus dilaksanakan secara bijaksana dan melalui rundingan demi memastikan kepentingan Sarawak serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya.
