Projek penyambungan Tebingan Sungai Sematan tarikan baharu kawasan

SEMATAN: Cadangan projek penyambungan Tebingan Sungai Sematan baharu yang menghala ke kawasan Normah Seafood kini dalam peringkat penyiasatan tanah dan kerja ukur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan berkata ini dilakukan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) sebelum proses seterusnya dilaksanakan.

Beliau berharap cadangan penyambungan tebingan sungai terbabit akan memberi nilai tambah kepada kawasan Sematan.

“Ini khususnya dari aspek kemudahan awam, keselesaan masyarakat serta potensi pembangunan dan tarikan setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Zero Waste Sematan anjuran Majlis Daerah Lundu (MDL) bersama komuniti di Tebingan Sungai Sematan Lundu hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail, Setiausaha Majlis Daerah Lundu, Wan Fauzi Wan Ismail, Pegawai Penerangan Daerah Lundu, Aishah Latip dan Pemanca Jumahdi Sabian.