KUCHING: Sarawak merekodkan seramai 3,235 penerima bantuan penjagaan Orang Kelainan Upaya (OKU) terlantar, pesakit lronik terlantar dan pesakit kronik tidak terlantar (BPT) sehingga Jun tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, dalam usaha meringankan beban keluarga mereka, bantuan ini turut disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Di Sarawak, seramai 3,235 penerima mendapat manfaat bantuan yang membabitkan perbelanjaan lebih RM10.4 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Sokongan Penjaga Insan Sejahtera (SPeKTRUM) Peringkat Negeri Sarawak anjuran JKM Sarawak di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, di sini, hari ini.
Nancy berkata sehingga Jun 2026, seramai 42,036 penerima di seluruh negara menerima bantuan ini dengan jumlah perbelanjaan lebih RM119.5 juta.
Selain itu, katanya dalam tempoh yang sama, Bantuan Warga Emas (BWE) disalurkan kepada 170,133 penerima di seluruh negara, melibatkan perbelanjaan melebihi RM609 juta.
Katanya, daripada jumlah tersebut, 23,034 penerima adalah dari Sarawak, membabitkan perbelanjaan melebihi RM94.3 juta.
Dalam hal ini, katanya masyarakat tidak boleh meletakkan keseluruhan tanggungjawab di bahu keluarga semata-mata.
Sebaliknya, katanya penjaga perlu disokong melalui khidmat penjagaan di rumah, penjagaan sementara, sokongan psikososial serta jaringan komuniti dan kerajaan.
“Inilah ekosistem yang mahu kita bina, bukan sahaja menjaga kebajikan mereka yang memerlukan bantuan, tetapi turut memperkasa penjaga dan meningkatkan kualiti perkhidmatan penjagaan secara lebih tersusun dan profesional,” katanya.
