KUCHING: Pengisytiharan darurat susulan jerebu hanya boleh dibuat Kerajaan Persekutuan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Unggah Embas berkata, perkara itu tertakluk kepada mekanisme dan prosedur di peringkat Persekutuan termasuk melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Bukan kita yang boleh mengisytiharkannya.
“Pengisytiharan darurat perlu dibuat oleh Kerajaan Persekutuan di Kuala Lumpur, malah Premier Sarawak juga tidak boleh mengisytiharkan darurat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama JPBN Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Menurutnya, keadaan darurat hanya terpakai secara setempat di kawasan yang mencapai bacaan IPU 500 dan bukan melibatkan keseluruhan Sarawak.
“Contoh, jika Serian mencapai bacaan IPU 500, maka kawasan itu sahaja diisytiharkan darurat.
“Bukan seluruh Sarawak diisytiharkan darurat.
“Darurat itu juga merupakan hak Kerajaan Persekutuan di Kuala Lumpur untuk mengisytiharkan,” tambahnya.
Sekiranya paras bacaan IPU 500, maka semua aktiviti perlu dihentikan dan pejabat juga perlu ditutup berikutan keadaan yang dianggap sangat berbahaya.
