Operasi pembenihan awan fokus kawasan empangan

KUCHING: Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Sarawak yang bermula hari ini hingga 5 September bukan bertujuan menghapuskan jerebu secara langsung.

Pegawai Meteorologi dari Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Muhammad Rizwan berkata, fokus utama operasi berkenaan membantu menghasilkan hujan khususnya di kawasan empangan.

“METMalaysia tidak menjamin hujan akan berlaku selepas pembenihan kerana banyak faktor mempengaruhi keberkesanan,” jelasnya.

Menurutnya, jenis awan sasaran ialah towering cumulus (kumulus menara).

“Sebelum penerbangan, analisis keadaan atmosfera, kenal pasti awan yang sesuai, tentukan lokasi awan berhampiran kawasan sasaran. Selepas dikenal pasti pesawat terbang ke lokasi bahan pembenihan disembur ke dalam awan,” ujarnya.

Katanya, operasi menggunakan empat tangki, dengan setiap tangki mengandungi campuran air dan garam sebelum bahan berkenaan disemburkan ke dalam awan.

“Selepas pembenihan, hasil biasanya boleh dilihat dalam satu hingga tiga jam. Awan berkembang berpotensi menghasilkan hujan. Jika atmosfera lebih stabil, perkembangan awan boleh mengambil masa lebih tiga jam.

“Selepas tempoh itu, hujan mungkin berlaku di kawasan lain, dipengaruhi arah dan kelajuan angin,” jelasnya.

Katanya, fokus paling penting cari awan yang sesuai, terbang ke lokasi dan spray bahan pembenihan.

“Pantau dalam masa satu hingga tiga jam, keberkesanan tidak dijamin. Faktor utama jenis atau keadaan awan, kestabilan atmosfera, arus udara dan angin.

“Fokus kali ini empangan, bukan operasi khusus untuk menghilangkan jerebu,” katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBN), Datuk Amar Douglas Unggah Embas bersama Ketua Penolong Pengarah Kanan Seksyen Pelaksanaan Operasi Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Arjunaidi Ismail, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) merangkap Timbalan Pengerusi JPBNS, Datu Felicia Tan dan Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) merangkap Setiausaha JPBNS, Abdul Wahab Rahim meninjau operasi pembenihan awan.