SEBUYAU: Kerajaan Sarawak akan membina sebuah sekolah baharu di sini dengan kos sekitar RM50 hingga RM60 juta.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia dipersetujui Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan beliau ke Sarawak pada penghujung Ramadan lalu.
Katanya, perbincangan awal dibuat dengan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki mengenai anggaran dana yang diperlukan untuk membina sekolah itu.
“Perdana Menteri tempoh hari telah bersetuju dengan perkara ini, justeru saya berani menggunakan dana yang kita ada untuk membina sebuah sekolah di Sebuyau,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Sebuyau 2024, di sini.
Turut hadir Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Sarawak untuk menyampaikan perkara tersebut kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak untuk melaksanakan projek tersebut.
Dalam ucapan sama, Abang Johari berkata Sarawak kini mengkaji satu teknologi baharu yang menjadi serampang dua mata dalam menghasilkan elektrik dan sistem saliran yang boleh digunakan untuk penanaman padi.
“Jadi saya ada cara baharu iaitu mengambil air dari Batang Lupar dengan cara kita sedut air itu dan dialirkan kepada tangki yang dipanggil ‘elevated tank’ atau tangki bertingkat.
“Apabila kita menggunakan air daripada tangki tersebut melalui paip, dan dihujungnya kita akan pasang turbin yang akan menghasilkan elektrik,” katanya.