Program Direktori Organisasi Berasaskan Komuniti akan dilaksana di Sarawak

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memberi jaminan Program Direktori Organisasi Berasaskan Komuniti (CBO) akan dilaksanakan di Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Dato Sri Nancy Shukri berkata, ketika ini CBO sedang dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara dan setakat ini empat negeri telah dilancarkan.

Ujarnya, ia merupakan platform yang penting untuk masyarakat setempat terutama sekali untuk membantu masyarakat yang memerlukan tindakan untuk menghubungi pihak berkaitan.

“Kita perlu pergi ke seluruh negara di semua daerah di seluruh negara.

“Tapi masa ini kita melancarkan dalam empat negeri,” katanya ketika ditemui media dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2024 anjuran bersama Pejabat Daerah Kuching dan KMKK Daerah Kuching di Majma’ Tuanku Abdul Halim Muazam Shah, di sini.

CBO merupakan platform untuk masyarakat menghubungi pihak berkuasa dalam membendung peningkatan kes-kes penjagaan keselamatan golongan rentan dalam komuniti khususnya kanak-kanak, golongan orang kelainan upaya (OKU), warga emas serta mangsa keganasan rumahtangga.

Tambahnya, hubungan rapat diantara KPWKM dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) memainkan peranan penting dalam memantau kemajuan dan keharmonian kampung.