Agensi kerajaan, media berganding bahu salurkan maklumat sahih

KUCHING: Kerjasama erat antara agensi kerajaan dan pengamal media penting bagi memastikan penyampaian maklumat tepat dan sahih, khususnya sepanjang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, kerjasama itu termasuk membantu pengamal media membuat semakan silang terhadap maklumat sebelum sesuatu laporan diterbitkan.

Menurutnya, perkara tersebut penting memandangkan organisasi media sering bersaing untuk menjadi yang terawal menyampaikan berita kepada masyarakat.

“Di sinilah kita memainkan peranan untuk berkongsi maklumat betul dan sahih.

“Dalam dunia kewartawanan, organisasi media sentiasa bersaing untuk melaporkan berita dengan pantas, namun ketepatan maklumat perlu diberikan perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bengkel NEWS360: Seni Penulisan Berita dan Laporan Khas untuk Televisyen, Radio dan Digital 2026 Zon Selatan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, berdasarkan pengalamannya sepanjang beberapa pilihan raya lalu, terdapat wartawan yang berdepan pelbagai kesukaran ketika membuat liputan di pedalaman.

Antara cabaran dihadapi termasuk kekurangan tempat penginapan, kesukaran mendapatkan makanan dan minuman serta masalah perhubungan terutama ketika berlaku banjir.

“Kadangkala wartawan dihantar bertugas ke pedalaman tetapi tidak mempunyai tempat untuk menginap.

“Ada kawasan yang sukar mendapatkan makanan dan minuman, terutama apabila mereka selesai menjalankan tugasan pada lewat malam,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, agensi berkaitan seperti Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) boleh membantu memberikan panduan mengenai lokasi atau pusat operasi yang boleh dirujuk wartawan sepanjang menjalankan tugasan.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, penganjuran bengkel seumpama itu turut memberi peluang kepada pengamal media meningkatkan kemahiran penulisan berita dan pelaporan video seiring perkembangan teknologi digital.

Menurutnya, setiap organisasi media mempunyai keperluan berbeza mengikut platform penerbitan, termasuk media dalam talian yang menekankan penyampaian berita secara pantas dan ringkas.

Justeru, beliau berharap pengamal media dapat memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran diperoleh menerusi bengkel berkenaan bagi menghasilkan laporan berkualiti serta berlandaskan maklumat sahih.– NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI