MYSED sokong persatuan sukan anjur kejohanan bertaraf dunia di Sarawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menyokong mana-mana persatuan sukan untuk menganjurkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa di negeri ini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bagaimanapun ia bergantung kepada kesanggupan persatuan sukan untuk membawa penganjuran bertaraf dunia ke negeri ini.

“Kita akan terus menyokong penganjuran seperti ini. Kalau mereka (persatuan) sanggup untuk menganjurkan dan melibatkan atlet-atlet atau petinju daripada Malaysia, kita sedia untuk menganjurkan.

“Ini bertujuan menyemarakkan minat terhadap sukan tinju dan membantu industri pelancongan,” katanya selepas menyaksikan Cabaran Tinju Dunia (WBC) Asia 2024 di Stadium Tertutup, Petra Jaya, malam tadi.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada petinju negara dari Sarawak, Daeloniel McDelon Bong (Kilat Boy) atas kejayaannya memenangi pertarungan WBC Asia Silver Superbantam Weight dengan menewaskan pencabar dari Thailand, Yuttihchai Wannawong.

Katanya, kemenangan itu pasti akan meningkatkan lagi minat golongan belia terhadap sukan tinju.

Beliau menambah, atlet sukan di Sarawak memerlukan ikon seperti Kilat Boy untuk mereka menonjolkan lagi bakat mereka.

Sementara itu, Kilat Boy melakar sejarah baharu untuk Sarawak selepas berjaya memenangi perlawanan sengit itu malam tadi.

Detik bersejarah itu dirakam beliau di hadapan hampir 4,000 penyokong setianya yang memenuhi Stadium Tertutup, Petra Jaya malam tadi dengan menumbangkan Yuttihchai dengan kiraan technical knockout (TKO) pada pusingan kelima.