HAWANA 2024 landasan iktiraf, hargai pengamal media

KUCHING: Sarawak menjadi tuan rumah Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 menjadi platform untuk menghargai sumbangan pengamal media khususnya di negeri ini.

Malah, ia menjadi wadah dalam mengiktiraf seluruh pengamal media di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata HAWANA memberi peluang kepada warga media dihargai seperti sambutan Hari Guru, Hari Pekerja, Hari Pahlawan dan sebagainya.

“Sebagai simbolik penghargaan atas kebaktian dan sumbangan mereka kepada bangsa dan negara, begitu juga pengertian dan semangat yang sama sambutan hari Wartawan Nasional khas untuk semua wartawan dan warga kerja di pelbagai peringkat penglibatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di Atrium Utama Pusat Beli Belah Plaza Merdeka di sini, hari ini .

Pameran itu dirasmikan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Katanya, sejarah sumbangan dan peranan warga media sejak sekian lama, malah tidak dapat dinafikan dalam pembentukan pembangunan dan kemodenan sesebuah negara dan masyarakat.

Malah katanya, pergerakan nasionalis dan pejuang kemerdekaan bermula dengan penulisan untuk memutik kesedaran dan kebangkitan.

Katanya, evolusi pemikiran dan kematangan sesebuah masyarakat tentang kenegaraan, pemahaman budaya, pembangunan infrastruktur dan struktur ekonomi, dan jati diri adalah sebahagian besar dari pengaruh penulisan dan penerbitan warga wartawan.

“Cabaran dan pengorbanan mereka sejak sekian lama, meredah perubahan cuara dan perjalanan untuk mendapat berita dan berkongsi peristiwa dengan masyarakat jarang dibicarakan.

“Tapi bagi mereka yang memahami sambutan sebegini adalah peluang untuk masyarakat mengenali mereka dan berkongsi pengalaman,” tambahnya.

Sebanyak 20 reruai pameran dibuka dari 10 pagi hingga 5 petang sepanjang tiga hari sambutan HAWANA dari 25 hingga 27 Mei ini.