SRI AMAN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mahu wanita di bahagian ini menjadi peserta program Inisiatif Wanita Dinamik @KPWKM.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, ini kerana melalui program itu kementerian membantu golongan sasar khususnya suri rumah dan ibu tunggal yang akan diberikan peluang menjana pendapatan.
Katanya, ini dengan mengoptimumkan
potensi individu berdasarkan bidang kemahiran mereka agar tidak terus bergantung kepada bantuan kerajaan sepenuhnya.
“Saya berharap, wanita-wanita hebat di Sri Aman mengambil peluang Inisiatif Wanita Dinamik @KPWKM,”katanya ketika merasmikan program Inisiatif Wanita Dinamik @KPWKM
yang disertai 450 peserta di Dewan Suarah Sri Aman, di sini, hari ini.
Nancy berkata, inisiatif ini juga adalah penambahbaikan kepada program Wanita Bangkit yang telah membantu seramai 18,664 wanita di seluruh negara sejak 2022.
“Saya yakin Program Wanita Dinamik @KPWKM ini akan membantu wanita untuk keluar daripada belenggu kesusahan dan menjadi wanita yang dinamik,”katanya.
Beliau berkata, mereka juga seterusnya dapat membantu wanita lain dalam memberikan peluang pekerjaan, mengambil upah dan perniagaan kecil-kecilan.
GAMBAR: Hajah Nancy Haji Shukri