JKM bakal jadi entiti menjelang 2026

KUCHING: Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bakal menjadi sebuah entiti menjelang 2026.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri sambil menambah, perkara itu sedang diusahakan kementeriannya tahun ini.

“Disebabkan banyak perkara perlu disusun atur pada tahun ini, di mana Jabatan Pembangunan Kanak Kanak hanya akan berdiri di atas kaki sendiri pada 2026, maka kemungkinan ada lagi undang-undang baharu yang perlu kita buat atau pindaan di atas Akta Kanak Kanak 2001,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa selepas menyempurnakan Majlis Ibadah Korban yang berlangsung di Surau Saidina Umar di sini, hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Santubong itu, pindaan ini akan dilaksanakan bagi menambah elemen-elemen tertentu yang perlu dipinda.

“Masih ada beberapa perkara yang tidak tertakluk kepada undang-undang semasa yang perlu dipinda untuk menambah peraturan bagi pengurusan hal Jabatan Pembangunan Kanak Kanak dan juga taska yang melibatkan akta yang sama,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 35 golongan asnaf di kawasan Samariang menerima pembahagian daging korban.