SIMUNJAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris menyumbang sebanyak 19 lembu bagi menjayakan ibadah korban sempena Aidiladha di daerah Simunjan tahun ini.
Sementara itu sebanyak enam ekor lembu disumbangkan Lembaga Amanah Kebajikan Islam (LAKIS) Bahagian Samarahan.
Menurut Awla, sebanyak 22 ekor lembu diagihkan kepada kampung-kampung di sini melalui setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
“Dalam pada itu, tiga ekor lagi diagihkan kepada tiga agensi kerajaan,” katanya ketika ditemui media dalam Program Jelajah Ibadah Korban Daerah Simunjan di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Awla berkata tiga lokasi dipilih untuk simbolik penyerahan daging korban iaitu Perkarangan Surau Darus Salihin, Kampung Nanas, Perkarangan rumah Ketua Kaum Kampung Hijrah Fasa 2 dan Dewan Kampung Kelka.
Kesemua daging korban itu akan diagihkan kepada golongan asnaf dan penduduk kampung di daerah ini.
