KUCHING: Pelarasan gaji baharu penjawat awam negeri akan diumumkan selepas pembentangan belanjawan negara pada hujung tahun nanti.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana kajian pelarasan gaji terbabit telah lengkap dilakukan namun pelaksanaannya perlu menunggu perincian pelarasan gaji baharu Kerajaan Pusat.
“Pelarasan gaji penjawat awam negeri itu perlu selaras dengan apa yang diumumkan oleh Kerajaan Pusat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ibadah Qurban Jabatan Premier Sarawak di Wisma Sabati, Jalan Bako, di sini, hari ini.
Selain itu, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak sedang melakukan kajian menyeluruh mengenai industri perlombongan untuk mengenal pasti potensi mineral yang terdapat di negeri ini.
Katanya kajian itu perlu dilakukan kerana Sarawak berpotensi untuk mengeluarkan grafit, mineral yang sangat penting dalam penghasilan sel bahan api yang digunakan dalam industri hidrogen.
