Cadangan bina Pusat Latihan Tinju di Sri Aman dipertimbang – Abdul Karim

ASAJAYA: Cadangan untuk membina Pusat Latihan Tinju di Sri Aman disambut baik Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED).

Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, cadangan daripada Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis itu akan dipertimbangkan.

“Kita akan pertimbangkan cadangan itu supaya Sarawak mampu mengeluarkan lebih ramai peninju untuk negeri dan Insya Allah untuk negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Pengagihan Daging Korban di Dewan Masyarakat Kampung Asajaya Ulu di sini, hari ini.

Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya terbabit turut menyokong saranan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bahawa kerajaan negeri perlu membuat pelaburan untuk pembangunan bakat baharu bagi melahirkan lebih ramai atlet dalam sukan renang dan terjun.