KUCHING: Tiga pakej Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak bagi mengatasi banjir di bandar raya ini dijangka siap pada 2026.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, tiga pakej terbabit membabitkan keseluruhan kos berjumlah RM191 juta.
Katanya, ketika ini dua pakej iaitu pakej satu dan dua sedang dilaksanakan manakala pakej tiga akan membabitkan tiga projek iaitu di kawasan Taman Malihah, Sungai gersik dan Sungai Sinjan dengan kos hampir RM42 juta.
“Kawasan itu merupakan kawasan kerap banjir dan kawasan kritikal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika Majlis Pecah Tanah Projek PLSB Sg. Sarawak (Pakej 3) yang juga dihadiri ADUN Tupong merangkap Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzruddin Abdul Rahman, di Matang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Premier Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Fadillah dalam ucapannya berkata, PLSB Sg. Sarawak Pakej Tiga melibatkan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sg. Gersik, RTB Sg. Sinjan serta kerja-kerja Mendalamkan dan Melebarkan Sg. Tengah dan Sg. Minjap, Matang, di sini.
“Manakala PLSB Sg. Sarawak pakej satu yang melibatkan SubLembangan Sungai Kuap sedang dilaksanakan untuk mengatasi masalah banjir di sekitar kawasan Muara Tuang Park, Taman Univista dan Unisquare serta Tabuan Dayak,” katanya.
Beliau berkata, PLSB Sg. Sarawak pakej dua pula melibatkan kawasan General Hospital, Lintang Park dan Kuarters Kerajaan di bandar raya ini serta Pakej 1 dan 2 telah dimulakan pada Mei 2024.
