Malam Pentas Komuniti Mukah meriah, padat pelbagai aktiviti

MUKAH: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) membawa kemeriahan kepada warga Kampung Petanak di sini dengan menganjurkan Malam Pentas Komuniti bertempat di Dewan Masyarakat Kampung Petanak pada malam tadi.

Program sempena Hari Bersama Komuniti 2024 Daerah Mukah itu mendapat sambutan daripada penduduk yang dimeriahkan dengan dua acara utama iaitu Pertandingan Karaoke dan Pertandingan Ratu Ibu.

Aktiviti turut diselang-selikan dengan persembahan oleh artis dari UKAS sendiri dan artis Melanau Mukah, Ajak Harris.

Berakhir saingan, Zuki Saffaee dari Senau Oya muncul johan Pertandingan Karaoke untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM300 serta trofi.

Naib juara dimenangi Muhammad Syukri Shadan membawa pulang wang RM200 dan trofi manakala ketiga disandang Ordie Ayak (RM100) serta trofi.

Dalam pada itu, Jessica Inyu dinobatkan sebagai Ratu Ibu.

Beliau berjaya membawa pulang wang tunai RM500, mahkota dan trofi. Naib juara pula dimenangi oleh Kunni Belajang (RM400 serta trofi) manakala ketiga disandang Nur Ain Abdullah (RM300 dan trofi).

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine serta isteri Puan Batrice Zuras.