SUKMA XXI: Habuan besar menanti pemenang emas Sarawak

KUCHING: Atlet Sarawak yang berjaya memenangi pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 bakal menerima durian runtuh daripada Kerajaan Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan jumlah habuan bakal diterima atlet Sarawak yang memenangi pingat emas mungkin lebih baik berbanding yang ditawarkan oleh negeri-negeri lain.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah tersebut.

“Saya tidak mahu mengumumkan sekarang, kalau tidak nanti negeri lain akan tersinggung tapi kami memang akan bagi, kalau bukan sama dengan negeri-negeri lain, mungkin lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Ibu Pertiwi kepada Ketua Kontinjen SUKMA Sarawak Hotel RAIA di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari memberitahu, majlis penutupan SUKMA XXI Sarawak 2024 akan dihadiri oleh Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim meskipun beliau mempunyai program lain yang perlu dihadiri di Semenanjung.

Ini jelasnya menunjukkan bahawa kepimpinan tinggi Malaysia bukan sahaja memberi fokus kepada pembangunan ekonomi malah turut mengambil berat tentang pembangunan sukan di negara ini.

Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar l Dr Sim Kui Hian, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

SUKMA Ke-21 Sarawak bakal berlangsung mulai 17 hingga 24 Ogos ini di sembilan bahagian negeri.

Temasya dwitahunan terbesar itu akan mempertandingkan 37 sukan dan 488 acara melibatkan lebih 10,000 atlet dan pegawai.