LIMBANG: Sarawak memerlukan sokongan generasi muda yang kreatif dan inovatif untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan membangunkan negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sokongan generasi muda untuk memacukan pertumbuhan ekonomi dan membangunkan negeri ini selaras dengan inisiatif ekonomi digital dan ekonomi hijau dperkenalkan oleh Premier Sarawak.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memperkenalkan ekonomi digital dan ekonomi hijau untuk mengubah struktur ekonomi negeri ini, katanya dalam teks ucapannya merasmikan Pesta Makan Tahun Kedayan Limbang di Kampung Tegarai di sini.
Teks ucapanya beliau dibaca oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus. Hadir sama Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.
“Saya mengajak anak-anak Kedayan tidak ketinggalan malah akan terlibat secara langsung dalam sektor ekonomi wilayah kita,” katanya.
Menurut beliau, Abang Johari selain itu turut memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di seluruh pelusuk Sarawak serta menjaga kebajikan rakyat.
Jelasnya Kerajaan Sarawak menyasarkan menjelang 2030 akan mencapai status Wilayah Maju dengan pendapatan bulanan isi rumah sebanyak RM15,000 sebulan.
Awang Tengah turut menggesa masyarakat Kedayan supaya terus menyokong Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) demi kesinambungan agenda pembangunan mampan.
