Sarawak sasar jadi destinasi pelancongan sukan

KUCHING: Sarawak mahu menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan sukan di rantau ini menerusi penganjuran pelbagai acara sukan besar dan bertaraf dunia.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, komitmen itu diterjemahkan melalui penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 dan Kejohanan Antarabangsa Borneo Pickleball.

“Kedua-dua kementerian saya telah memilih untuk menyokong kejohanan itu kerana ia akan mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Penaja Kejohanan Antarabangsa Borneo Pickleball (BPIT 2024) di Baitul Makmur II di sini, hari ini.

Tambah Abdul Karim, kejohanan julung kali diadakan itu akan berlangsung pada 8 hingga 14 Oktober depan di Kompleks Tertutup PIKABOL, Kuching.

Akui sukan itu masih baharu, namun beliau optimis ia mampu berkembang ke peringkat global jika ia terus dipromosikan melalui pertandingan.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif BESarawak Amelia Roziman, Presiden Persatuan Pickleball Kuching Ruslan Bujang dan penaja-penaja lain.