KUCHING: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang meneroka peluang pelaburan baharu yang boleh dilaksanakan di negeri ini khususnya sektor tenaga yang boleh diperbaharui.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (KWSP) Ahmad Zulqarnain Onn berkata, Sarawak kini dilihat sebagai negeri yang berpotensi terutamanya dalam sektor tenaga berkenaan.
“Tujuan KWSP datang ke sini untuk mempelajari strategi Sarawak terutamanya potensi pelaburan dalam sektor tenaga itu dan juga mempelajari segala strategi dan polisi baharu di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
Tambah Ahmad Zulqarnain, Sarawak mempunyai pelbagai potensi pelaburan baharu dari segi hidro, solar dan memerlukan pelaburan yang agak tinggi.
Menurutnya, Sarawak sebagai pusat tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara sangat ketara dari segi hidro, solar dan floating solar dan pastinya memerlukan pelaburan yang agak tinggi dari perspektif KWSP.
“Kami hendak menghulur tangan untuk mencari bagaimana kami boleh menyertai di dalam pelaburan baharu di Sarawak,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut menerima kunjungan hormat daripada Shanghai Electric Power yang diketuai Pengarahnya, Wu Lei dan International Finance Coorporation (IFC).
