LAWAS: Kerajaan Persekutuan digesa supaya memberi perhatian lebih serius perkembangan daerah di wilayah Sarawak yang berjiran dengan ibu negara baharu Indonesia – Nusantara.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, antaranya ialah infrastruktur perhubungan jalan raya.
“Menaik taraf perhubungan jalan raya itu penting bagi menjaga imej negara dan mengembangkan sektor pelancongan di kawasan berjiran,” katanya pada majlis makan malam bersama komuniti di sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi.
Majlis makan itu bagi meraikan kunjungan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dato Johari Abdul dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran bersama rombongan yang mengadakan lawatan dua hari ke sini.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Setiausaha Eksekutif Parti PBB, Datuk Awang Bujang Awang Antek dan Setiausaha Politik Premier Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan menegaskan, kepesatan pembangunan di Nusantara, akan memberi impak sektor ekonomi khususnya pelancongan di sini.
“Justeru, kita memerlukan infrastruktur perhubungan jalan raya yang lebih baik. Kapit dan Lawas yang paling hampir dengan Nusantara perlu diberi nafas pembangunan yang mampu menjaga imej negara Malaysia,” tegas beliau.
Di sebelah sana, katanya, jalan rayanya baik dan licin dan jika wilayah Sarawak memiliki jalan raya serupa pasti mampu membuka banyak aktiviti ekonomi seperti pelancongan dan perdagangan.
Awang Tengah juga menggesa Kerajaan Persekutuan menunaikan janji melaksanakan segera pembinaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Lawas.
Ini penting dalam mengembangkan latihan teknikal kepada para belia dan anak-anak di kawasan luar bandar, katanya.
Berikutan itu, Kerajaan Sarawak telah membina CENTEXS Lawas yang kini hampir siap untuk mengisi keperluan pusat latihan teknikal yang berkualiti kepada anak-anak di kawasan luar bandar di Utara Sarawak.
“Mengenai MRSM Lawas, peruntukan sudah ada, tanah pun sudah kita bagi, tetapi sampai sekarang belum ada tanda-tanda projek ini dilaksanakan.
“Ini mendatangkan kekecewaan rakyat dan kerajaan negeri telah tubuh Centexs yang kini sudah hampir siap,” tambahnya.
Lawatan seperti ini amat baik untuk pentadbir Dewan Parlimen merasai sendiri cabaran yang dihadapi Ahli Parlimen di Sarawak yang menjaga kawasan Parlimen yang luas dan terletak di luar bandar.
