PERKIM Cawangan Sarawak bakal miliki bangunan baharu

KUCHING: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Sarawak bakal memiliki sebuah bangunan baharu untuk dijadikan tempat pemulihan pesakit strok, penjagaan orang tua dan ibu pejabat cawangannya di sini.

Pengerusinya merangkap Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib berkata, bangunan baharu bakal ditempatkan di kawasan Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya, berdekatan Kompleks Kebajikan Laila Taib (PERYATIM) membabitkan anggaran kos pembinaan kurang dari RM15 juta.

“Kita mendapatkan pendapat Premier Sarawak kerana ia adalah inisiatif yang kami ingin memperkasakan diri dari segi melaksanakan secara pembangunan mampan di samping mendapatkan maklum balas mengenai perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia (WBM) di sini, hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Mukah itu lagi, Abang Johari telah memberi respons positif di samping mencadangkan agar bangunan baharu yang dibina menggunakan bangunan bersifat hijau seperti penggunaan panel solar.
Menyentuh mengenai perkhidmatan penjagaan orang tua, Hanifah menjelaskan penjagaan itu bersifat pusat jagaan seharian dengan menyediakan tempat bagi warga emas untuk bergaul antara satu sama lain di samping menjadi pusat pembelajaran kepada mereka.

Turut hadir Naib-Naib Pengerusi PERKIM Cawangan Sarawak Dato Sri Rohani Abdul Karim dan Datin Noraini Hussin, Setiausaha Kehormat Datin Mazlin Darus, Bendahari Kehormat Dayang Noraini Abang Zawawi serta ahli-ahli jawatankuasa dan konsultan-konsultan PERKIM Cawangan Sarawak.