KUCHING: Kerajaan Pusat menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam industri penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
Perkara itu antara topik utama perbincangan semasa kunjungan hormat Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini Wisma Bapa Malaysia (WBM).
Katanya, Sarawak antara empat negeri termasuk Sabah, Terengganu dan Pahang yang telah dikenal pasti berpotensi untuk dijadikan hab CCUS dalam tempoh lima tahun akan datang.
Rafizi menekankan kepentingan menyelaraskan peraturan persekutuan dan negeri bagi memastikan pelaksanaan inisiatif CCUS berjalan lancar.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan menyasarkan untuk membentangkan perundangan CCUS yang komprehensif menjelang akhir tahun, namun Sarawak katanya telah bertindak awal dengan mewujudkan rangka kerja kawal selianya sendiri di bawah undang-undang negeri.
Sambil memuji kelebihan Sarawak dalam meletakkan dirinya sebagai pemain terkemuka dalam industri itu, Rafizi menyatakan potensi ekonomi dan alam sekitar bagi projek CCUS ini untuk berjaya.
“Dalam kes Sarawak, fokus kita adalah terhadap negeri yang harmoni dan undang-undang persekutuan untuk melicinkan pembangunan CCUS.
“Saya menggalakkan penglibatan semua untuk menyokong kemajuan Malaysia.
“CCUS adalah inisiatif berteknologi tinggi, yang jika berjaya kita laksanakan dalam tempoh lima tahun akan meletakkan kita ke hadapan.
“Ia akan menjana banyak peluang pekerjaan dengan pendapatan tinggi dan mengangkat kepimpinan kita dalam peralihan tenaga,” katanya.
Katanya, semua empat negeri terbabit telah mengadakan sesi libat urus terhadap perundangan CCUS, bagi menetapkan asas kukuh terhadap projek yang akan dilaksanakan nanti.
Hadir sama ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian, Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar.