UPM Kampus Bintulu bakal tawarkan Program Sarjana Tenaga Boleh Diperbaharui

BINTULU: Program Sarjana Tenaga Boleh Diperbaharui yang akan ditawar Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu dijangka mempercepatkan agenda tenaga hijau Sarawak.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak I, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, program ini akan memberi tumpuan kepada kolaborasi erat dengan sektor industri dan komuniti tempatan.

Katanya, pelajar program terbabit akan berpeluang meneroka aplikasi praktikal tenaga boleh diperbaharui melalui kajian lapangan, latihan industri dan penyelidikan terkini.

“Program ini dijangka melahirkan graduan yang mampu menerajui penyelesaian inovatif dalam pengurusan tenaga hijau, pembangunan teknologi baharu, dan perancangan dasar tenaga mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Anugerah dan Seminar Kemampanan Bintulu 2024 (BiSA) di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi, Lembaga Kemajuan Bintulu(BDA), Datuk Haidar Khan Asghar Khan, Pengurus Besar BDA, Datuk Muhamad Yakup Kari, Pengawal Kualiti Alam Sekitar, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Jack Liam, ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon, ADUN Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming, ADUN Jepak Iskandar Turkee, Dekan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, UPM Kampus Bintulu Prof. Madya Dr. Noorasmah Saupi.