PETROS hulur sumbangan RM2 juta bantu mangsa banjir

KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) menghulurkan sumbangan berjumlah RM2 juta, dalam usaha membantu penduduk yang terjejas ekoran banjir yang melanda Sarawak baru-baru ini.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusi PETROS Tan Sri Datuk Amar Dr Hamid Bugo kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Majlis penyerahan berlangsung di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini sambil disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) merangkap Timbalan Pengerusi JPBNS Datu Buckland Bangik, Ahli Lembaga Pengarah PETROS Datu Ir Zuraimi Sabki dan Naib Presiden Kanan Pembangunan Modal Insan, Hubungan Korporat dan Perkhidmatan Ismail Said.

Hamid memberitahu, sumbangan tersebut akan membantu menyediakan bantuan dan sokongan kepada mangsa banjir.

“Kami menyedari kesukaran yang dihadapi komuniti akibat banjir dan dengan ini PETROS komited bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dan JPBNS bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.

“PETROS turut menzahirkan simpati kepada semua yang terjejas serta menyanjung tinggi ketabahan komuniti dalam mengharungi cabaran ini,” katanya dalam kenyataan media susulan majlis penyerahan sumbangan berkenaan.

Dengan sumbangan ini, beliau memberitahu PETROS akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan untuk memberikan bantuan yang diperlukan termasuk membekalkan barangan keperluan asas, peralatan, serta sokongan logistik kepada mangsa banjir. -UKAS