SIBU: Program tahunan ‘Ketuk Sahur’ di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka diteruskan lagi tahun ini dengan pendekatan lebih inklusif apabila turut melibatkan kediaman penduduk bukan beragama Islam.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr. Annuar Rapaee, penganjuran program ini di kediaman masyarakat bukan Islam mencerminkan keharmonian kaum dan agama kukuh.
“Pagi ini menandakan permulaan program ‘Ketuk Sahur’ di kawasan Nangka.
“Program ini bertujuan mengedarkan pek makanan kepada golongan yang memerlukan untuk sahur”dilaksanakan dengan kerjasama JKKK Nangka,” katanya ditemui semasa program itu, semalam.
Pada program tersebut, Dr. Annuar dan rombongan bersahur di rumah Catherine Ali Puteh, seorang pemimpin masyarakat beragama Kristian di Kampung Nangka.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Catherine atas kesudian menyambut kedatangan mereka dan menyediakan makanan untuk sahur.
Sebanyak 250 rumah di 10 lokasi yang berada di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terlibat dalam program ini, menjadikannya antara program tahunan yang berjaya memperkukuhkan perpaduan dalam komuniti.
Program ini dianjurkan oleh Pusat Khidmat DUN Nangka dan diadakan di Kampung Nangka dari jam 4.00 pagi hingga 5.30 pagi.
