Impian raikan Aidilfitri rumah baharu tidak kesampaian

SIMANGGANG: Seorang mangsa warga emas telah melecur dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Hilir di sini, tengah hari tadi.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman telah menerima panggilan berhubung kebakaran tersebut sekitar jam 12.38 tengah hari.

Penguasa Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata seramai tujuh anggota bomba setibanya di lokasi mendapati kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal telah terbakar 100 peratus.

Katanya, kebakaran melibatkan seorang mangsa warga emas,70, melecur dan dibawa orang awam ke hospital sebelum pasukan mereka sampai di lokasi dan memadam kebakaran.

“Anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan bomba,” katanya.

Sementara itu, impian empat keluarga berkenaan untuk menyambut Hari Raya di rumah baharu itu berkecai selepas kediaman mereka hangus.

Sahari Pon, 45, ketika ditemui berkata, keluarga mereka tidak sabar menanti sambutan Hari Raya tahun ini di rumah baharu mereka, kerana rumah tersebut sudah hampir siap dibina sejak Jun tahun lalu.

“Sejak Jun tahun lalu, saya telah menyiapkan rumah ini sedikit demi sedikit, dan beberapa hari lalu saya sempat memasang dinding rumah dapur, namun impian keluarga kami untuk beraya di rumah yang baharu siap ini tidak kesampaian, musnah dalam sekelip mata.

“Beberapa hari lalu, kami baharu sahaja membuat majlis tahlil ibu mertua saya yang meninggal lebih 20 hari lalu,” katanya.