Kanak-kanak hilang dijumpai selamat

MUKAH: Seorang kanak-kanak lelaki yang hilang sejak Selasa lalu, ditemukan selamat di kawasan hutan pagi ini selepas lebih dua hari hilang.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhammad Rizal Alias berkata, kanak-kanak berusia 12 tahun itu ditemui kira-kira pukul 9.55 pagi di kawasan hutan, lebih 50 meter dari Rumah Lang Nanga Meruan Dijih, Selangau.

“Kanak-kanak itu dijumpai pasukan operasi mencari dan menyelamat (OP SAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan dibawa ke Klinik Kesihatan Selangau untuk pemeriksaan kesihatan.

“Dengan penemuan tersebut, OP SAR yang bermula pada pukul 8 pagi tadi ditamatkan pada pukul 10.30 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah telah meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang.

Kanak-kanak tersebut kali terakhir dilihat pada pukul 5 petang, Selasa lalu, dalam keadaan tidak berbaju dan tidak berkasut, hanya memakai seluar panjang berwarna kelabu.