Pelajar, staf asnaf UiTMCS terima sumbangan

SAMARAHAN: Majlis Iftar Perdana 2025 bagi meraikan pelajar dan staf asnaf Universiti Teknologi Mara Cawangan Sarawak (UiTMCS) diadakan di Masjid Al-Qurawiyyin, UiTMCS Kampus Samarahan, di sini, malam tadi.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir Pro-Canselor UiTM, Datuk Abdul Wahab Aziz serta isteri Datin Dayang Rosnah Abang Drashid.

Di majlis itu, Julaihi menyampaikan sumbangan dari Unit Zakat dan Wakaf (ZAWAF) UiTMCS dan Persatuan Wanita Universiti Teknologi MARA (PEWANI) kepada
55 penerima asnaf.

Mereka terdiri daripada pelajar kurang berkemampuan, ibu tunggal, staf UiTMCS serta saudara baharu dari Kampung Plaie di sini.

Beliau kemudian menyaksikan majlis penyerahan replika cek zakat dan sumbangan dari syarikat korporat kepada UiTMCS.

Syarikat itu ialah Maybank Islamic Berhad diwakili Pengarah Wilayah, Maybank Wilayah Sarawak, Abang Jamili Abang Julai yang menyampaikan sumbangan ke Tabung Zakat UiTMCS bernilai RM115,105.

Seterusnya ialah Rafulin Holdings Sdn. Bhd diwakili Pengurus Cawangan Rafulin Sarawak yang menyerahkan sumbangan kepada Tabung Zakat UiTMCS bernilai RM75,450.