MATU: Wanita di Sarawak terus menjadi kekuatan utama dalam membina masyarakat harmoni terutama peranan mereka sebagai tonggak utama keluarga.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, wanita bukan hanya sebagai penyokong keluarga, tapi juga penting dalam memastikan kestabilan masyarakat.
“Di belakang lelaki yang berjaya, pasti ada wanita yang memberi sokongan kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Jom Berambeh Raya yang dianjurkan oleh Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Daerah Matu, yang berlangsung di Dewan Muhibah Haji Mahdi, Kampung Bawang, semalam.
Ahmad Johnie juga berkata majlis ini penting untuk menunjukkan kerjasama erat antara PPWS dan PERKIM dalam memperkasakan wanita di daerah tersebut.
Melalui pelbagai program, kedua-dua organisasi ini terus berusaha memperbaiki kebajikan masyarakat dan menyebarkan nilai positif, katanya.
“Salah satu tujuan utama majlis ini untuk merapatkan hubungan sesama komuniti sempena Hari Raya dan menghargai sumbangan wanita,” tambahnya.
Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi PPWS Daerah Matu, Maryam Len, dan Pengerusi PERKIM Daerah Matu, Norlia Morshidi.
