BINTULU: Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak menganjurkan program Wacana Khas Wanita dan Keluarga Islam Sarawak di Balai Raya Kampung Assyakirin di sini, hari ini.
Program dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta fokus kepada isu kekeluargaan seperti penceraian, hak jagaan anak, nafkah dan keganasan rumah tangga.
Program itu juga mendedahkan peranan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) membantu pelaksanaan perintah mahkamah Syariah, khidmat kaunseling dan bantuan guaman menyokong wanita dan keluarga Islam di Sarawak.
Pengarah JWKS, Salmah Jobeli menyempurnakan program itu mewakili Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato’ Sri Fatimah Abdullah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee turut hadir memberi sokongan terhadap usaha memperkasa wanita dan keluarga Islam di peringkat akar umbi.
